Menjadi seorang Muslim yang baik

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan perlu berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap Muslim/Muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

* Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya).

* Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.

* Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi Muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

* Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w., sirah para sahabat Nabi, bagi Muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.

* Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan sebagainya.

* Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya.

Bolehkah Umat Islam hari ini menjadi mukmin yang baik seperti pada zaman Rasulullah s.a.w.?

Umat Islam hari ini ada potensi untuk menjadi umat yang kuat imannya kepada Allah, menurut Al-Marhum Syeikh Sa’id Hawwa dalam kitabnya “Al-Asas Fi al-Tafsir” juzuk kedua ketika menafsirkan surah ~Ali ‘Imran, ada menukilkan riwayat mafhumnya, bahawa Rasulullah s.a.w. menerusi satu hadisnya pernah bertanya kepada para sahabat dalam satu majlis ilmu: Siapakah agak-agaknya di antara makhluk Allah yang paling kamu kagum iman mereka kepada Allah? Para sahabat menjawab: Para Malaikat. Tidak kata Rasulullah, kerana mereka adalah golongan yang sentiasa bersedia untuk melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya. Kalau begitu wahai Rasulullah, mereka itu ialah para Anbiya’ (nabi-nabi),. Tidak juga, kerana para Anbiya’ dianugerahkan Allah kitab-kitab atau suhuf-suhuf (lembaran-lembaran agama) dan mereka juga adalah golongan yang maksum (terpelihara dari membuat dosa). Jadi kalau begitu kamilah wahai Rasulullah. Tidak juga, kerana kamu boleh jadi orang-orang yang beriman kerana aku berada bersama dengan kamu. Yang sebenarnya kata baginda, makhluk yang aku maksudkan itu ialah mereka yang akan datang (lahir) selepas kamu (mereka yang hidup tanpa melihat baginda Rasulullah disebabkan kewafatan baginda), kerana mereka boleh berpegang dengan al-Quran dan jadi orang-orang yang beriman walaupun aku tidak ada di sisi mereka.

Dalam satu riwayat hadis yang lain pula riwayat Imam Ahmad, Imam Bukhari, Ibnu Hibban dan al-Hakim daripada Anas, baginda ada menegaskan, bahawa; beruntunglah mereka yang melihat aku dan beriman kepadaku (Nabi hanya mengungkapkan sekali sahaja), dan beruntunglah mereka yang tidak melihat aku dan boleh beriman kepadaku (baginda mengungkapkan ucapan itu hingga diulang sebanyak tujuh kali).

Iman yang ada di dalam hati kita itu, akan terus diperbaharui apabila kita berhasrat untuk melakukan reformasi perubahan dalam diri iaitu ingin menjadi hamba Allah yang terbaik dalam pelbagai aspek kehidupan, ia boleh dilakukan dengan perubahan sikap, seterusnya akan sampai kepada satu tahap kemuncaknya iaitu peningkatan, meningkat dalam persoalan iman, kefahaman, cara berfikir, bertindak yang akhirnya melonjaknya diri kita sebagai umat yang mampu menyuruh manusia seluruhnya kepada yang makruf dan mencegah mereka daripada melakukan mungkar seperti membunuh, memfitnah, memberi dan menerima rasuah dan lain-lain, Wallhu ‘Alam.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin.

Posted on July 20, 2007, in Ceramah. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: