Ellison bawa sinar baru Islam di AS Oleh Abdurrahman Haqqi

Ahli Kongres angkat sumpah guna al-Quran bukti Muslim diterima

PADA 4 Januari lalu adalah hari bersejarah bagi Islam dan umat Islam di Amerika Syarikat. Di negara yang sedang mempersiapkan diri untuk memerangi kononnya radikal Islam selama 100 tahun mendatang selain mendakwa pelopor demokrasi dunia dalam sejarahnya yang lebih 200 tahun, tercatat satu sejarah. Kejadian yang dimaksudkan adalah penggunaan al-Quran dalam acara rasmi negara apabila Keith Ellison mengangkat sumpah sebagai Ahli Kongres Amerika Syarikat.

Seperti dimaklum, Ellison adalah Muslim pertama menduduki jawatan tinggi di Amerika apabila terpilih pada pilihan raya November lalu mewakili Parti Demokrat di Minneapolis.

Yang tersurat daripada kisah tersirat Amerika adalah al-Quran itu sendiri di mana dikatakan ia adalah bahan koleksi Presiden Amerika Syarikat ketiga, Thomas Jefferson. Ini mengisyaratkan bahawa sebenarnya Islam sudah wujud dalam lipatan sejarah kepemimpinan negara George W Bush itu.

Mushaf yang diterbitkan pada 1764 sebagai cetakan ulang tahun 1734 di London itu menjadi saksi bisu sejarah Islam di Amerika. Oleh itu, Ellison menyatakan bahawa Amerika memiliki seorang tokoh berpandangan ke depan, sangat beragama dan penuh toleransi, mempercayai nilai kebijaksanaan yang boleh diambil dari mana saja termasuk al-Quran. Ellison ingin membuktikan kata-katanya dengan meminta perpustakaan Kongres membenarkannya menggunakan al-Quran bersejarah yang pernah terselamat daripada kebakaran gedung Perpustakaan Kongres pada 1851.

Ellison mempunyai visi dan misi keislaman di negara yang pada batinnya tidak menyukai Islam dan pada zahirnya memerangi umat Islam di mana-mana dan yang terakhir adalah serangan ketenteraan di Somalia awal minggu ini. Somalia yang tandus dan masih jauh daripada kenikmatan dunia moden itu digempur tentera yang haus darah pengganas ciptaan mereka sendiri.

Ellison berdakwah sendirian di tengah-tengah demokrasi Amerika dalam gedung Kongres yang masih bermaharajalela di dalamnya pemikiran yang dimiliki Virgil Goode. Goode, wakil parti Republikan, khuatir Amerika akan menjadi negara Islam pada kemudian hari jika tidak ada penyekatan dalam peraturan imigresen mereka. Dia berkata: “Jika Amerika tidak segera bangkit dan tidak menerima pandangan saya berkenaan imigresen, kelak lebih ramai Muslim terpilih menjadiAhli Kongres dan menggunakan al-Quran sebagai upacara mengangkat sumpah.”

Apa yang dikhuatiri Goode memang akan berlaku bahkan bukan hanya di Amerika bahkan di seantero jagat raya. Pemikiran seperti Goode diterjemahkan dengan mempersiapkan pelbagai cara melawan kemaraan agama Allah seperti dituangkan oleh rancangan 100 tahun perang Amerika Syarikat. ‘Perang Islam 100 tahun’ di mana dilaporkan bahawa seorang jeneral kanan tentera Amerika meminta rakyat negaranya bersedia menghadapi perang selama 50 hingga 100 tahun dengan golongan radikal Islam, satu perjuangan menentang puak komunis ketika Perang Dingin yang memakan masa 40 tahun.

Usaha itu membabitkan aspek ketenteraan dan ideologi, kata Brigadier Jeneral Mark O Schissler yang juga Timbalan Pengarah bagi Perang Menentang Keganasan di Jabatan Pertahanan Amerika (Pentagon), ketika diwawancara akhbar.

Keupayaan jeneral kanan Amerika ini membuktikan sebuah hadis yang berbunyi maksudnya: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku al-harj”. Sahabat bertanya, “Apakah al-harj itu hai Rasulallah”? Nabi Saw menjawab: “Peperangan demi peperangan demi peperangan”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Membaca kisah perjuangan Ellison masa lalu, kini dan akan datang dalam Kongres Amerika mengingatkan kita kepada sebuah kisah al-Quran mengenai Firaun dan ahli mesyuaratnya. Dalam kisah itu diceritakan bagaimana seorang Mukmin yang membela perjuangan Nabi Musa. Orang Mukmin itu berada dalampemerintahan Firaun ketika itu.

Al-Quran mengisahkan maksudnya: “Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman daripada orang Firaun yang menyembunyikan imannya: Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: Tuhanku ialah Allah? Sedang dia datang kepada kamu membawa keterangan daripada Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa sebahagian daripada (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.

Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita daripada azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita? Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan) dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.” (Surah al-Mu’min: 28-29)

Masyarakat Islam, kata Sayyid Qutub, ialah satu-satunya masyarakat yang dikawal dan dilindungi Allah Yang Maha Esa. Anggota masyarakat itu meninggalkan dan membuang jauh segala bentuk pemujaan dan pendewaan kepada sesama manusia untuk melakukan pemujaan dan pendewaan kepada Allah SWT saja.

Oleh sebab itulah anggota masyarakat menjadi orang yang bebas dan merdeka sepenuhnya, kebebasan yang menjadi paksi keseluruhan tamadun dan kehormatan umat manusia seperti ditakdirkan Allah sejak azali sewaktu Allah memproklamasikan kepada malaikat untuk melantik manusia sebagai khalifah-Nya di bumi ini.

Bila saja program yang berpunca daripada Tuhan Yang Maha Esa menjadi tali pengikat antara umat manusia, dalam mana kedaulatan bagi seluruh umat manusia tidak bersumber daripada sebarang kuasa duniawi dalam bentuk pengabdian dan penindasan atas sesama umat manusia nescaya masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat yang ideal yang boleh menggambarkan keindahan ciri kemanusiaan, iaitu ciri roh dan fikiran.

Sebaliknya apabila saja dasar perkauman, kebangsaan, warna kulit dan tanah air, persamaan nasib dan lain-lain lagi, yang menjadi tali pengikat antara kelompok umat manusia, maka jelaslah dasar itu tidak menggambarkan ciri kemanusiaan, sebab manusia akan tetap menjadi manusia juga tanpa kebangsaan, tanpa warna kulit dan tanah air, tetapi manusia itu bukan manusia lagi tanpa roh dan fikiran.

Di samping itu berdasarkan kebebasan dan kemahuan sendiri manusia boleh mengubah akidahnya, boleh mengubah fikirannya, dan juga mengubah program hidupnya, sebaliknya manusia tidak akan berdaya mengubah kebangsaan dan warna kulitnya, seperti juga dia tidak akan berupaya mengubah tempat kelahirannya.

Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan itulah masyarakat yang bertamadun.

Adapun sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam, masyarakat itu ialah masyarakat ‘jahiliah’.

Sesungguhnya masyarakat Islam saja yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap ‘akidah’ sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, kulit hitam dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya saja.

Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang paling bertakwa dan orang selainnya adalah setaraf dalam menjunjung hukum dan perintah Allah.

Islam akan kekal bersinar dan menyinari bumi ini walaupun dalam keadaan yang asing seperti disabdakan Rasulullah bermaksud: “Islam mula tersebar dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang yang asing.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan penentangnya. Kemudian selepas itu Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga dianuti dua pertiga penduduk dunia.

Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil daripada pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam berasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam sebenar.

Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Begitulah seterusnya nasib lslam pada akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih daripada masyarakat, bahkan tersisih daripada pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam. (An-Nadwi, hadis ke-7)

Kisah Ellison adalah kisah asing bagi masyarakat Amerika yang dikuasai pemikiran Goode. Tetapi, walaupun semua orang Amerika yang berjumlah hampir 300 juta berfikiran seperti fikiran Goode, agama Islam akan tetap bersinar walaupun hanya disebabkan oleh satu orang saudara kita, Ellison. Allah ma’ak.

Posted on January 14, 2007, in hidayah. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: