Mempakej semula imej Islam Oleh Manan Razali

 Akidah murni ummah pemangkin utama untuk kembalikan kecemerlangan SEJAK akhir-akhir ini, beberapa kenyataan mengenai isu semasa yang dikeluarkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat di negara kita termasuk media. Disebabkan kenyataan beliau tidak selari dengan pemahaman konvensional yang sudah sebati dengan masyarakat umum terhadap Islam, maka pelbagai reaksi timbul. Isu diutarakan beliau adalah serius yang harus diperbetulkan jika kita mahu Islam terus relevan sebagai cara hidup bersifat universal untuk manusia sejagat yang makin gawat kedudukannya hari ini kerana terpaksa berhempas-pulas dengan pelbagai isu kontemporari kronik yang tidak pernah wujud sebelum ini. Hakikatnya, Islam bukan milik sesuatu kaum atau golongan, sebaliknya, Islam adalah agama wahyu untuk manusia sejagat. Islam yang diutus kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada manusia adalah mudah dan bersifat universal kerana ia selari dengan fitrah manusia yang dijadikan Allah, sebagai Rabb semesta alam. Jika Islam susah dan mengelirukan, sudah tentu kaum Arab Badwi yang bertaburan di padang pasir kira-kira 1,400 tahun lalu yang hobi mereka berperang sesama sendiri tidak boleh menerimanya dalam jangka masa pendek selama 23 tahun. Tetapi, disebabkan Islam mudah diterima akal sihat dan berjiwa murni serta tidak membebankan untuk dipraktik, maka Arab Badwi yang tidak bertamadun dan keras hati itu pun boleh terkulai layu dengan Islam sehingga mengubah mereka daripada bangsa hina pada asalnya kepada satu bangsa yang penyantun, mulia dan dihormati dunia pada zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu. Malangnya, Islam yang diamalkan oleh umatnya sejak beberapa kurun kebelakangan ini dan oleh kita kini sudah tersasar dari bentuknya yang asal. Ia dijadikan sebagai agama bersifat ritual yang dipenuhi dengan pelbagai amalan bidaah dan khurafat yang tidak pernah diajar atau dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda dulu. Agama dan cara hidup yang pada asalnya sangat mudah, indah dan luas skopnya baik dari aspek ibadah dan muamalat sudah diubah menjadi susah, lesu dan sempit hingga tidak kelihatan relevan pada zaman yang serba canggih sekarang kerana ketulenannya dicemari. Salah satu masalah utama di Malaysia ialah hampir semua daripada kita sebagai orang Melayu berfikir bahawa Islam adalah milik bangsa kita saja. Kita tidak mahu fikir Islam juga milik bangsa lain kerana mereka juga ada hak untuk memahami dan menerima Islam sebagai insan bergelar manusia yang dicipta oleh Tuhan sama. Tetapi, bagaimana kita mahu terangkan Islam kepada mereka jika akidah kita sendiri tunggang langgang? Bagaimana kita ingin menarik perhatian mereka jika akhlak kita menjelekkan? Bagaimana kita hendak memikat mereka jika Islam yang kita gambarkan berwajah keras yang hanya mahu mencari kesilapan orang dan menghukum? Jika bercakap, kita tahu beremosi saja. Ilmu, adab dan akhlak langsung entah ke mana dicampaknya. Hikmah dan kebijaksanaan yang sepatutnya ditunjukkan ketika berdakwah adalah sesuatu yang sangat asing bagi kita. Kita sibuk berkokok di sana sini bahawa orang Islam perlu kembali kepada al-Quran dan sunnah, tetapi pada masa sama apa yang kita praktikkan, langsung tidak seperti apa dikata. Kalau ada mana-mana pihak cuba memperbetulkan keadaan ini dengan membawa hujah berlandaskan dalil sahih, kita akan berhempas pulas cuba menolaknya dengan pelbagai alasan dan pandangan lemah untuk menjustifikasikan pendirian kita walaupun ia jelas bercanggah dengan al-Quran dan sunnah. Maka hasilnya ialah Islam yang sepatutnya mudah difahami dan diamalkan itu bertukar menjadi sangat mengelirukan dan membebankan. Oleh demikian, bukan orang bukan Islam saja takut kepada Islam orang Melayu tidak mempunyai latar belakang Islam yang mencukupi pun tidak yakin kepada Islam dan sudah berani menolaknya secara terang-terangan sejak akhir-akhir ini. Laungan bahawa Islam adalah cara hidup lengkap dan mampu menjana kemajuan rupa-rupanya tidak lain hanya slogan bersifat retorik. Hakikatnya ialah sebahagian besar daripada kita jahil mengenai agama kita sendiri dan sikap bodoh sombong kita yang tidak sedarkan diri hanya memburukkan lagi keadaan ini. Disebabkan inilah apabila Mohd Asri baru sentuh sedikit mengenai isu mengintip orang berkhalwat yang tidak pernah diajar atau disuruh oleh Rasulullah SAW, ramai beri komen menuduh beliau menggalakkan orang buat maksiat. Padahal, apa yang Nabi ajar ialah sesuatu yang boleh menggalakkan maksiat itu perlu dihalang dan ditutup terlebih dulu. Sepatutnya usaha kita dipusatkan, bukannya mengintip orang yang membuat maksiat dan kemudian mengaibkan mereka di khalayak ramai. Perbuatan seumpama ini tidak pernah tercatat di mana-mana bahagian dari sirah Rasulullah dan pada zaman pemerintahan sahabatnya dulu. Sama ada kita suka atau tidak, inilah hakikatnya kalau kita rujuk kembali kepada Sunnah. Jika kita benar-benar jujur mahu memartabatkan al-Quran dan sunnah, kita mesti terima kenyataan ini dan ubah cara kita untuk menangani masalah khalwat walaupun kita mungkin berasa janggal mengenainya. Saya juga mahukan negara yang memerintah berdasarkan hukum syariah kerana bercita-citakan matlamat ini adalah satu tuntutan wajib bagi setiap individu yang mengaku Muslim. Jika tidak, maka rosaklah akidah kita. Ini bukan hal main-main. Tetapi saya juga bersikap realistik kerana matlamat suci ini tidak akan tercapai dan mustahil dapat dilaksanakan dengan baik jika masyarakat tidak bersedia kerana jahil dan bingung dengan bagaimanakah wajah Islam yang akan memerintah dan mentadbir negara dan hidup rakyat kelak jika pihak yang ke sana dan ke mari memperjuangkan Islam tidak mampu menjaga adab dan perilaku mereka. Rasulullah SAW memerintah di Madinah selepas 13 tahun mendidik kaumnya dengan penuh kesabaran di Makkah mengenai tauhid dan asas akidah. Pada masa sama, Baginda menghantar wakil ke Madinah untuk menyampaikan ilmu ini sebelum berhijrah ke sana. Setibanya di Madinah, tampuk pemerintahan negara terus diserahkan kepada Baginda dengan cara sukarela oleh rakyatnya kerana yakin kepada keindahan dan keadilan Islam walaupun sebahagian besar daripada mereka tidak pernah berjumpa Rasulullah SAW. Mengapa boleh jadi begini? Jawapannya mudah: Ia berlaku kerana akidah mereka mantap dan sudah kenal siapakah Tuhan mereka. Ilmu tauhid yang dipasak dalam dada mereka oleh sahabat Rasulullah yang mewaklili Baginda di Madinah sebelum Baginda sampai berjaya memberi kesan besar dan luar biasa kepada jiwa mereka. Mereka dapat lihat wajah Islam bersifat penyayang, adil dan indah itu melalui akhlak dan peribadi insan yang menyampaikan ajaran Islam kepada mereka. Mereka yakin jika Islam memerintah dan mentadbir hidup mereka, tentulah mereka akan mendapat kebaikan, kesejahteraan dan keberkatan di dunia dan akhirat. Saya yakin Islam yang diajar oleh wakil Rasulullah SAW ini mudah difahami dan dihayati. Jika ia berbelit-belit untuk difahami dan orang menyampaikannya bersikap kasar, tidak bijaksana, pengotor, cakap tidak serupa bikin serta mempamerkan sikap negatif, sudah tentu penduduk Madinah tidak akan menerima mesej yang hendak disampaikan itu walaupun mesej itu benar. Dengan erti kata lain, sesuatu yang baik dan berkualiti tinggi itu mesti juga dipakej dengan cantik dan menarik jika kita mahu ia laris disambut dan dibeli pelanggan. Sebaliknya jika pakejnya buruk, jangan harap orang akan berminat untuk membelinya walaupun isinya mungkin bagus. Seterusnya, apabila ayat berkaitan hukum-hakam diturunkan Allah kepada mereka melalui Rasulullah SAW selama 10 tahun berikutnya di Madinah untuk dipraktikkan, mereka langsung tidak membantah walau sedikit pun. Sikap mereka ialah ‘Wa samiqna, wa atoqna’ yang bermaksud: ’Aku dengar dan aku patuh’. Mustahil mereka boleh bersikap demikian jika akidah mereka kabur. Disebabkan inilah Islam gemilang pada zaman itu dan pada zaman sahabat. Ia bukan saja difahami dan dihayati dari segi teorinya, malah berjaya diamalkan dengan penuh kecantikan, sesuai dengan tujuan Allah menurunkannya kepada manusia. Inilah sikap mukmin yang kita juga inginkan pada hari ini tetapi tidak boleh dicapai sekelip mata kerana syarat asasnya adalah akidah murni dan mantap. Akidah itu hanya boleh dibentuk jika penerangan dan penyampaiannya berdasarkan ilmu yang jelas dengan penuh hikmah mengikut contoh dan teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. Saya bukan lurus bendul yang hidup dalam alam khayalan. Saya akui apa yang digambarkan di atas tidak mudah dilaksanakan di celah kepincangan yang berlaku dengan meluas dalam sistem politik, ekonomi dan sosial dalam masyarakat kita hari ini. Umum mengetahui kepincangan inilah yang menyebabkan amalan rasuah, maksiat dan pelbagai penyakit sosial begitu serius melanda negara kita sehingga membuat hidup seharian kita menjadi gawat. Tindas menindas berlaku di mana-mana saja dan segala usaha yang menjurus kepada ‘amar maaruf nahi mungkar’ dihalang sementara program kemungkaran pula diberi sokongan dan galakkan. Untuk hidup dan menyara keluarga di negara ini sekarang bukan mudah disebabkan oleh kos sara hidup meningkat setiap hari akibat sikap tidak amanah oleh pihak tertentu yang menyebabkan berlakunya pembaziran berleluasa. Tetapi ia lumrah hidup yang sudah berlaku sejak zaman berzaman. Tidak ada bezanya apa yang berlaku hari ini berbanding zaman Arab jahiliah dulu. Watak yang terbabit dalam drama bersiri ini sama, cuma pelakonnya bertukar. Kalau dulu Abu Jahal dan Abu Lahab memakai jubah dan serban, hari ini pelakon yang memegang watak yang sama memakai kot atau bush-jacket pula. Masalah ini berlaku kerana ramai manusia sombong, angkuh, takbur dan tidak sedar diri kerana mereka tidak mengenal Tuhan serta tidak terfikir apa yang bakal menanti apabila mereka dipanggil menghadap Rabb yang mencipta mereka satu hari nanti. Maka apabila mereka mempunyai sedikit kuasa yang diamanahkan oleh rakyat, mereka mengkhianati amanah ini dengan penuh kerakusan demi memuaskan hawa nafsu yang dididik dengan sempurna oleh iblis. Oleh itu, sementara kita bersama-sama berusaha tanpa jemu untuk mencari jalan membanteras penyakit ini dan memperbetulkan kepincangan yang berleluasa di negara ini melalui saluran yang ada, peranan dakwah untuk mengajak orang ramai mengenal Tuhan yang satu dan memperbaiki imej Islam melalui akhlak yang baik tidak boleh diabaikan. Kedua-dua usaha ini mesti seiring. Ia adalah tugas yang diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh umatnya dan tanggung-jawab kita melaksanakannya dengan baik. Pada masa sama, kebijaksanaan dan kelunakan kita dalam melaksanakan aktiviti dakwah supaya Islam kelihatan cantik dan menarik kepada orang ramai janganlah disalahertikan sebagai langkah yang ingin meliberalkan Islam. Golongan yang berfahaman liberal menafsirkan al-Quran dan sunnah mengikut selera nafsu tanpa mengambil kira batas akidah, manakala apa disarankan oleh Mohd Asri adalah bertunjangkan kepada sunnah walaupun ia mungkin kelihatan seperti langkah’liberal’ daripada pandangan mata kasar. Kekeliruan ini timbul kerana majoriti daripada kita tidak cukup terdedah kepada sunnah Rasullullah SAW. Kita akan memusuhi apa yang kita jahil mengenainya dan cepat sekali menuding jari kepada orang lain. Islam harus ditegakkan dengan ilmu sahih dan akhlak tinggi, bukannya dengan sangkaan yang tidak berteraskan kepada dalil sahih dan emosi tidak terkawal. Kita perlu memahami dan mempraktikkan Islam mengikut al-Quran berdasarkan kepada contoh dan acuan yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda tanpa perlu kita menokok-tambah atau mengurangi apa-apa darinya supaya ketulenan Islam dapat dipelihara bagi mengelakkannya ia menjadi sempit, mengelirukan dan membebankan. Jika kita dakwa Islam itu relevan dan mampu menyelesaikan pelbagai masalah sosial, ekonomi dan kehidupan manusia sejagat, maka sudah sampai masanya kita buktikan Islam itu adil, praktikal, progresif, penyayang, menasabah dan boleh diterima oleh akal sihat supaya ia mampu menarik minat setiap manusia berjiwa murni untuk mendekatinya. Dengan perkataan lain, imej dan wajah Islam harus diperbaiki serta dipakej dengan menarik bukan hanya dengan slogan tetapi dengan tindakan berkesan berteraskan Al-Quran dan sunnah yang mempunyai skop sangat luas. Islam itu sememangnya sempurna dan berwajah cantik. Tindak tanduk kitalah yang akan menentukan sama ada ia kekal cantik dan menawan atau hodoh dan dibenci.

Posted on January 18, 2007, in hidayah. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: