Kandungan al-Quran mesti dihayati, praktik(bharian)

GAYA pemikiran umat Islam di Malaysia perlu diubah kepada kefahaman Islam sebenar berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Bagi konteks negara kita sekarang, al-Quran dilihat hanya berperanan untuk beberapa kegunaan saja, seperti;

Pertama; untuk dilagukan pada pertandingan musabaqah Tilawah al-Quran, kedua; dibaca untuk ritual keagamaan pada malam tertentu di masjid dan surau di seluruh negara, ketiga; digunakan untuk menghalau hantu syaitan yang mengganggu manusia atau untuk mengubati sihir.

Keempat; menjadi suatu sukatan pelajaran yang perlu dibaca dan dihabiskan oleh murid sebelum memasuki sekolah menengah, kelima; menjadi alat untuk upacara khatam pada hari perkahwinan, keenam; dibahaskan persoalan hukum tajwidnya secara mendalam.

Ketujuh; menjadi slogan rasmi pada hari cuti Nuzul al-Quran, kelapan; dijadikan bahan hafazan di Pusat pengajian Tahfiz al-Quran dan kesembilan; diperdengarkan di corong pembesar suara masjid dan surau menjelang masuk waktu sembahyang.

Hakikatnya, semua senarai di atas hanya menyentuh aspek luaran pada al-Quran, tanpa menyentuh isi kandungannya. Tidak dinafikan perkara di atas juga penting dan mempunyai peranannya yang tersendiri, namun tuntutan untuk memahami isi kandungannya, memahami sebab penurunan sesuatu ayatnya, memahami kaitan ayat dengan isu semasa, penjelasan tentang muhkam dan mutasyabihat dan sebagainya adalah jauh lebih penting dan perlu diberikan perhatian yang lebih serius.

Sekiranya al-Quran itu diturunkan hanya untuk tujuan ritual di atas, apa gunanya Baginda Rasulullah SAW dan sahabatnya mengalami segala kesusahan untuk menjamin kesinambungan Islam sehingga terpaksa mengorbankan nyawa dan harta yang cukup banyak? Fikirkanlah bersama-sama.

Baginda Rasulullah SAW tidak pernah memisahkan antara aspek luaran dan dalaman al-Quran seperti yang berlaku hari ini. Apabila sesuatu ayat diturunkan, Baginda akan mengajarkan kepada sahabat secara bacaan bertajwid, kemudian ayat berkenaan dijelaskan dengan terperinci maksudnya.

Seterusnya untuk mengukuhkan lagi aspek pemahaman, ayat itu akan dihafaz dan diamalkan secara berterusan. Gabungan antara aspek tilawah, tajwid, tafsir, hafazan dan penghayatan ini ternyata berjaya menghasilkan generasi sahabat yang diiktiraf sebagai al-Quran yang bergerak.

Apabila dikatakan seorang sahabat menghafaz Surah al-Baqarah, bererti sahabat itu benar-benar menghayati dan mengamalkan segala pengajaran yang terkandung di dalam surah berkenaan.

Bayangkan pula bagaimana kualiti penghafaz keseluruhan al-Quran dari kalangan mereka? Segala kualiti agung dan kehendak Allah memang benar-benar terpancar di dalam setiap amal perbuatan mereka.

Untuk mengubati kepincangan umat Islam kini khususnya di Malaysia, apalah salahnya jika hadiah untuk pemenang pertandingan Musabaqah al-Quran ditambah sebagai motivasi untuk lebih ramai orang akan mendekati al-Quran.

Juga diperluaskan skop pemilihan ayat yang akan dipertandingkan, meliputi ayat yang menarik perhatian semua seperti ayat berkaitan teori Big Bang (al-Anbiya’:30), teori altitude (al-‘An’am:125), teori pengembangan alam semesta serta kewujudan bintang dan planet baru (al-Dhariyat:47) dan sebagainya.

Ketika majlis pembacaan Yasin pula, perlu juga disebut mengenai kisah Habib al-Najjar yang sanggup mati untuk mempertahankan akidahnya (Yasin:20-27).

Selain itu, perbincangan Tajwid yang kebiasaan hanya agak terhad kepada topik tertentu saja, perlu diperluaskan kepada perbahasan mendalam perbezaan Qiraat 7 dan 10 yang boleh membawa kepada perubahan pemahaman hukum.

Contohnya, pada Surah al-Ma’idah ayat 6, menurut bacaan Imam Syu’bah, Hamzah, Ibn Kathir, Abu ‘Amru & Abu Ja’far, kaki hanya perlu disapu, bukan dibasuh ketika berwuduk. Pada ayat 222 Surah al-Baqarah pula, bacaan Imam Syu’bah, Hamzah, Kisa’i dan Khalaf al-‘Asyir membawa kepada pemahaman agar wanita yang sudah suci daripada haid perlu mandi wajib terlebih dulu sebelum boleh disetubuhi oleh suaminya.

Malah, banyak lagi isu yang berkaitan kandungan al-Quran yang jarang sekali menarik perhatian kita dari aspek Qiraat dan Tafsir.

Amalan memperdengarkan bacaan al-Quran di corong masjid dan surau juga perlu dikaji semula kerana Allah SWT secara tegas memberikan panduan yang jelas mengenai adab yang perlu dijaga berkaitan al-Quran seperti firman-Nya dalam Surah al-A’raf, ayat 204 bermaksud: “Apabila dibacakan al-Quran, maka hendaklah kamu semua mendengar kepadanya dan diam, mudah-mudahan kamu akan mendapat rahmat.

Apabila al-Quran diperdengarkan secara terbuka, adakah orang yang ada di sekelilingnya akan benar-benar diam dan mendengar? Bagaimanakah sekiranya pemimpin, tokoh atau ketua sedang menyampaikan ucapannya dilayan acuh tak acuh oleh hadirin? Sedang beliau berucap, kita sebagai hadirin sibuk dengan urusan masing-masing seperti bercakap, tidur, bergelak ketawa, menghantar kihdmat pesanan ringkas (SMS), mendengar perbualan telefon, menonton televisyen dan sebagainya. Sudah pasti kita dikira berlaku biadap dan tidak hormat kepada pemimpin berkenaan.

Cuba kita bandingkan pula perkara ini dengan kedudukan Allah SWT yang sedang bercakap menerusi al-Quran. Kemuliaan al-Quran wajib dipelihara dalam erti kata yang menyeluruh, tidak cukup hanya mengucupnya atau berwuduk ketika hendak memegangnya saja, bahkan setiap huruf yang diperdengarkan daripadanya perlu diteliti dan diamati kerana ianya adalah ucapan Allah yang Maha Agung.

Sekiranya semua salah faham ini diperbetul dan diubah, barulah kita akan benar-benar dapat mengubah nasib umat Islam kini. Allah Maha Pemurah siap memberikan kita peta atau buku panduan yang boleh membawa kita kepada kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.

Namun, oleh kerana tidak benar-benar memahami peta atau buku panduan berkenaan, maka kita sudah tersesat dan tersasar jauh daripada tempat tujuan. Demi untuk sampai kepada tempat tujuan seperti yang dijanjikan oleh Allah, maka panduan Rasulnya perlu dipatuhi secara seratus peratus.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarbangsa Malaysia (UIAM).

Posted on February 26, 2007, in Al-Quran. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: