Penulis cilik (hmetro 19 hb Jan 09)

adora3HARI masih pagi ketika Adora Svitak meninggalkan rumah bersama ibunya untuk ke sekolah.

Pagi itu, Adora bersemangat kerana akan menghadiri kelas puisi – subjek yang sangat digemarinya.

Namun, budak perempuan berusia 11 tahun itu sebenarnya bukanlah pelajar, sebaliknya seorang guru.

Dianggap sebagai pakar kesusasteraan cilik, bakat dimiliki Adora dianggap sangat hebat.

Dia mula mengajar kesusasteraan ketika baru berusia tujuh tahun dan pada masa sama, karya sulungnya, Flying Fingers, diterbitkan di seluruh dunia.

Buku itu mengandungi koleksi cerita pendek bersama rahsia menulis yang baik untuk sesiapa yang ingin mempelajari kaedah digunakannya.

Buku kedua Adora, Dancing Fingers adalah koleksi puisi bersama dengan kakaknya dan diterbitkan tahun lalu.

Ketika ini, Adora sibuk menyiapkan empat lagi karya baru.

Menurut Adora, genre kegemarannya adalah cerita fiksyen sejarah dan fantasi.

Justeru, minatnya terhadap tulisan J K Rowling (penulis cerita Harry Potter) dan Charles Dickens dapat difahami.

Cuma, kata Adora, kadang-kadang ayat digunakan kedua-dua penulis itu agak berbelit.

Proses penghasilan karya Adora juga menarik. Dia mampu menaip di antara 80 hingga 112 perkataan seminit, membaca dua hingga tiga buku sehari dan menulis kira-kira 330,000 perkataan setahun.

Baginya, dia melihat dirinya sebagai seorang ‘pendidik, penyair dan pencinta kemanusiaan’, tetapi bagi orang lain, Adora seorang budak berfikiran dewasa.

Dia tidak pernah menduduki ujian IQ kerana baginya, ia tidak perlu.

“Ia bukan satu-satunya cara terbaik untuk mengetahui kecerdasan seseorang dalam kesusasteraan,” katanya.

Adora mula boleh membaca ketika baru berusia tiga tahun. Ketika itu, katanya, dia menyangka semua budak seusianya mempunyai minat sama – membaca.

Sebaliknya, kata Adora, tidak semua orang gemar menghabiskan masa dengan membaca.

Justeru, kata ibunya, Jouce, Adora berusaha memanfaatkan kemampuannya untuk menanamkan kecintaan tabiat membaca di kalangan orang lain.

Sehingga kini, Adora menjadi pengajar tamu di lebih 300 kelas di seluruh dunia, termasuk China, Hong Kong, Vietnam dan United Kingdom.

Digelar Dora the Explorer, selalunya syarahan Adora dimulakan dengan menceritakan pengalaman bagaimana dia mula membaca dan menulis kepada kanak-kanak lain.

Di rumah mereka di Redmond, Washington, ruang bawah kediaman itu diubah suai menjadi studio televisyen untuk membolehkan Adora mengadakan sidang video harian.

Melalui kaedah itu, dia memberikan syarahan mengenai penulisan kepada sesiapa saja yang berminat, termasuk orang dewasa dan guru dengan kadar bayaran AS$300 bagi setiap sesi selama 50 minit.

Disebabkan bakatnya besar, Adora turut menjadi perhatian dunia korporat.

Untuk muncul dalam sesuatu syarahan kepada pendidik dan ahli perniagaan, Adora boleh memperoleh bayaran sehingga AS$10,000 bagi menjelaskan bagaimana teknologi memberi kesan kepada proses kreativiti seseorang.

Baru-baru ini, dia diupah Microsoft untuk menjelaskan kaedah penggunaan komputer dalam pendidikan.

Melihat bagaimana Adora berkongsi pengalamannya, amat sukar untuk sesiapa pun untuk tidak mengagumi kemampuan budak perempuan itu.

“Ketika kecil, saya mengharapkan galakan,” katanya pada satu ketika.

Adakah Adora terlupa bahawa dia masih budak?

Tidak.

Kata Adora, apabila dia merujuk kepada zaman kanak-kanaknya, ia adalah tempoh dia baru berusia di antara dua hingga sembilan tahun.

“Walaupun berasa semakin dewasa, saya sedar saya masih budak,” katanya.

Baru-baru ini, Adora mengambil ujian untuk mengetahui usia seseorang secara online.

Hasil ujian itu, katanya, dia dianggap berusia 50 atau 60 tahun.

“Kadang-kadang keluarga saya bergurau dengan mendakwa saya orang tua yang kebetulan berusia 11 tahun,” katanya.

Mungkin gurauan keluarga Adora ada benarnya, tetapi pada masa sama, mereka turut menyumbang kepada kebolehan luar biasa budak itu.

Bapa Adora, John, memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang fizik, selain jurutera perisian komputer.

Anak sulungnya, Adrianna, 13, pemuzik pintar semula jadi.

Joyce dibesarkan di China ketika negara itu mengalami Revolusi Kebudayaan.

Disebabkan kerajaan ketika itu menghalang seseorang memiliki buku, ibu bapa Joyce memberi pendidikan tidak formal di rumah mereka.

Kata Joyce, dia banyak dipengaruhi pembelajaran zaman kecilnya.

“Saya bercerita kepada anak-anak bagaimana sukarnya kami ketika itu kerana tidak memiliki makanan atau buku mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, Joyce tidak menganggap dia bertanggungjawab membentuk Adora menjadi budak luar biasa.

“Kejayaan Adora kerana kesungguhan dan dedikasinya,” katanya.

Di tanya sama ada mereka adalah pasangan ibu bapa yang tegas mendidik anak-anak, Joyce berkata, keadaan sebenar adalah sebaliknya.

“Kami tidak mendesak Adora, sebaliknya dia sendiri memberikan apa yang terbaik untuk dirinya.

“Jika ada program keesokan hari, dia berjaga sehingga tengah malam untuk membuat persediaan dan sayalah yang mendesaknya berehat,” katanya.

Bagi Adora pula, dia tidak menganggap rutin hariannya sebagai beban.

“Ia sangat menyeronokkan,” katanya.

Selain membuat persediaan untuk mengajar, Adora gemar menonton berita di ketiga-tiga saluran televisyen, iaitu ABC, NBC dan CBS.

Ketika ada kelapangan, Adora menghabiskan masa beriadah, seperti bermain kasut roda, ski, memasak atau makan keju.

“Saya juga bermain sorok-sorok,” katanya.

Sebagai budak, adakah Adora mengalami sebarang kebimbangan?

“Ya, ekonomi dunia adalah satu daripada isu membimbangkan saya,” katanya.

Selain itu, katanya, masalah pemanasan global, kolera di Zimbabwe dan kebuluran dunia turut mencetuskan kekhuatiran.

“Namun, selalunya saya mengelak melayan kebimbangan itu kerana masa sepatutnya digunakan dengan aktiviti lebih berfaedah,” katanya. – Agensi

Posted on January 19, 2009, in Articles, Uncategorized. Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. salam persahabatan…
    izinkan saya mengambil artikel untuk tatapan penjungjung web saya

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: