Category Archives: tokoh-tokoh agung islam

Turunnya Nabi Isa

Image
Ini adalah merupakan suasana sebelah dalam masjid Umawi yang berada di Dimasyq, Syria ketika masih belum berlaku kebangkitan rakyat Syria.Menurut hadis, di masjid inilah Nabi Isa akan turun untuk memerangi Dajjal ketika akhir zaman.

Sabda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم :

“Ketika Allah telah mengutus al-Masih Ibnu Maryam, maka turunlah ia di menara putih di sebelah timur Dimasyq dengan mengenakan dua helai pakaian yang dicelup dengan waras dan za’faran. Kedua telapak tangannya diletakkan di sayap dua Malaikat. Bila ia menundukkan kepala, maka menurunlah rambutnya, dan jika diangkatnya kelihatan landai seperti mutiara. Maka tidak ada orang kafir pun yang mencium nafasnya kecuali pasti akan meninggal dunia, padahal nafasnya itu sejauh mata memandang. Lalu nabi Isa mencari Dajjal hingga menjumpainya dipintu Lud, lantas dibunuhnya Dajjal tersebut. Kemudian nabi Isa datang kepada suatu kaum yang telah dilindungi oleh Allah dari Dajjal, lalu nabi Isa mengusap wajah mereka dan memberi tahu mereka tentang darjat mereka di Syurga..”

(Sumber hadis : Sahih Muslim, Kitab al-Fitan wa Asyrathis Sa ‘ah, Bab Zikr ad-Dajjal 18: 67-68)

Ibnu Katsir menyebut, “Inilah yang termasyhur mengenai tempat turunnya nabi Isa, iaitu di menara putih bahagian timur Dimasyq. Dan dalam beberapa kitab yang kami baca, nabi Isa turun di menara putih sebelah timur masjid Jami’ Dimasyq, dan ini merupakan pendapat yang lebih terpelihara.

Kerana di Dimasyq, tidak dikenali menara di bahagian timur selain daripada di sebelah Masjid Jami’ Umawi, Dimasyq sebelah timur. Inilah pendapat yang lebih sesuai kerana beliau turun ketika sedang dibacakan iqamat untuk solat, lalu imam kaum Muslimin berkata kepada beliau, “Wahai Ruh Allah, majulah untuk mengimami solat.”

Kemudian beliau menjawab, “Anda saja yang maju menjadi imam, kerana iqamat tadi dilaungkan untuk kalian.”

Nota : Kami juga menjumpai hadis dan perbahasan ulama’ berkenaan nabi Isa akan turun di Masjid Umawi dalam keadaan kota Dimasyq ketika itu huru-hara seolah-olah sedang berlaku satu peperangan. Kami akan kongsikannya selepas daripada ini. Wallahua’lam.

Ihsan FACEBOOK: Rakyat Malaysia Bersama Revolusi Syria.
Advertisements

Nasihat Sheikh Abdul Kadir Jailani

Berikut adalah tips dari Syeikh Abdulkadir Al Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama insan.

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.
Ucapkan dalam hatimu : “Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”.

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) : “Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”..

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu): “Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu): “Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) : “Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) : “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.